Husna membelek-belek buku rujukan di
tangannya. Sudah lima buah buku dibaca tapi tidak ada suatu pun maklumat yang
yang dicari. Jika ada pun hanya sedikit sahaja isu tersebut dikupas. Husna
pulang ke rumah dengan perasaan sedikit hampa. Dua hari lagi dia perlu
membentangkan tajuk tersebut di dalam
kelas, semasa waktu pembelajaran Pendidikan Islam nanti. Runsing juga dia
dengan tajuk yang diberikan, Penambahbaikan Dalam Membina Sebuah Institusi Kekeluargaan.
“ Ya Allah, tolonglah hambaMu ini.
Tunjukkan jalan yang terbaik,permudahkanlah urusanku.” Doa Husna mengharap
jalan penyelesaian dari Ya Rabb.
Husna menyelusuri laluan pejalan kaki
berdekatan dengan taman permainan. Walau pun jam baru menjengah 4 petang,
kelihatan tiga orang kanak-kanak bermain di situ. Husna kenal siapa mereka
bertiga itu dan cuba mendekati mereka.
“Assalamualaikum.” Husna menegur
kanak-kanak itu.
Anak yang paling besar menjawab.
“Waalaikummussalam. Eh, Kak Husna. Baru balik dari sekolah ke?”
Mereka bertiga mendekati dan memeluk Husna.
Kegembiraan terserlah di raut wajah mereka. Husna memang menyukai kanak-kanak,
tambahan pula dia tiada adik-beradik lain untuk bermain dan bermanja, jadi
anak-anak kecil inilah yang selalu menjadi pengubat rindu.
Husna berasa kasihan dengan mereka
bertiga. Hilang kasih sayang ibu bapa dan ditinggalkan di rumah dengan pembantu
rumah. Pembantu rumah pula yang suka membiarkan saja anak-anak kecil itu
bermain sendiri.
“Afiq dan adik-adik dah makan?”
Afiq, anak yang sulung mengangguk.
“Makan apa?” Husna saja bertanya walaupun dapat mengagak apa jawapan yang akan
diberikan.
“Telur goreng je Kak Husna. Tapi Ain
lapar lagi Kak Husna. Tak kenyang pun makan telur tu. Bila Ain cakap nak makan
lagi Kak Suri marah.” Nur Ain terus menjawab sambil mencebik bibir. Husna
beristighfar.
Sedih melihat Nur Ain dan Nur Atiqah, anak
kedua dan ketiga pasangan Encik Saiful dan Puan Hashimah. Dek kerana kesibukan
mengumpul harta dunia, anak-anak amanah Allah ini diabaikan. Bila ditegur,
mereka menjawab, harta yang mereka kumpul bukan untuk orang lain tetapi untuk
anak-anak juga. Tetapi realitinya, benarkah hasil kemewahan itu untuk anak-anak
jika setiap hari hanya dihidangkan dengan telur mata goreng.
Pilu melihat anak-anak itu, Husna lantas
berjalan laju menuju ke kedai runcit yang berdekatan. “ Jangan ke mana-mana ya,
tunggu akak kat sini.” Husna membawa anak-anak itu berteduh di bawah pondok.
Tak sanggup membiarkan kulit putih anak-anak itu dibahang oleh sinar mentari
yang masih perit.
10 minit berlalu, Husna pun tiba kembali
ke pondok itu dengan membawa sebungkus roti Gardenia, Butterscoth dan tiga
kotak kecil susu coklat. Hampir menitis air mata Husna melihat ketiga-tiga anak
itu makan dengan berseleranya seperti sudah lama tidak menjamah makanan. Selesai
makan Husna menghantar mereka pulang
saja ke rumah. Bimbang juga hatinya meninggalkan anak-anak itu bersendirian di
taman tanpa penjaga.
“Terima kasih Kak Husna.” Ucap Afiq dan
adik-adiknya. Husna hanya mampu mengangguk. “ Kasihku padamu hanya kerana Allah.”
Bisik hati Husna sambil mengusap-ngusap kepala anak-anak itu.
Husna melangkah lemah. Hati dan
fikirannya asyik memutar-mutar kembali kejadian yang berlaku sebentar tadi.
Rasa syukur yang teramat singgah di hatinya pada Yang Esa kerana
mengurniakannya sepasang ibu dan ayah yang tidak pernah mengabaikan
tanggungjawab mereka bahkan Husna berasa amat bahagia sekali.
Lamunan Husna terhenti apabila terdengar
laungan azan tandanya masuk waktu Asar. “Astaghfirullahal’adzim….” Istighfar
panjang Husna dan terus menpercepatkan langkahnya. Hajatnya tadi ingin
berjemaah Asar dengan ibunya. “Harapnya sempat”. Doa Husna dalam hati.
Sampai di rumah Sarimah sedang
bersiap-siap untuk solat. Menjadi keutamaannya untuk dirikan solat di awal
waktu dan meninggalkan pekerjaan yang dilakukan. “Segerakan solat setelah masuk
waktu adalah lebih baik.” Pesan suaminya yang tercinta.
“ Ibu, tunggu Husna.” Pinta Husna sambil
menuju ke bilik air. Sarimah mengangguk faham.
“ Alhamdulillah.” Husna mengucap syukur
kerana masih sempat berjemaah dengan ibunya.
Selepas seketika, Sarimah dan Husna
berjemaah megerjakan solat fardu Asar.
“Husna tak ada kelas ke hari ni?” Soal
Sarimah sambil melipat telekung seusai solat dan mengaminkan doa. “Kelas batal
ibu tapi Husna singgah perpustakaan kejap tadi.” Sarimah sekadar ingin
mengambil tahu aktiviti anaknya itu agar setiap tindak tanduk anaknya dalam
pengetahuan dan pemerhatiannya. Bukan bermaksud mengokong tetapi ia satu
kewajipan ibubapa untuk memantau anak-anak akan apa yang yang mereka lakukan,
dengan siapa mereka berkawan supaya mereka tidak tersasar jauh.
“Ibu, semasa dalam perjalanan pulang
tadi, Husna jumpa dengan Afiq dan adik-adiknya. Kesian mereka ibu, bermain di
taman sendirian.” Husna menceritakan apa yang berlaku dengan linangan air mata.
Sarimah memegang tangan anaknya,
menenangkan Husna,faham hati Husna yang mudah tersentuh. Keadaan Afiq dan adik-adiknya itu memang
dalam pengetahuannya. Sebelum ini memang ada usaha yang dilakukan untuk menegur
Encik Saiful dan Puan Hashimah tetapi tidak dipedulikan. Selaku salah seorang
ahli jawatankuasa sebuah NGO kemasyarakatan memang menjadi tanggungjawabnya
untuk memantau keluarga –keluarga yang bermasalah. Bahkan bukan keluarga Encik
Saiful sahaja yang sebegitu tetapi ada lagi beberapa lagi keluarga yang lain.
“Ibu, kenapa keadaan mereka macam tu?
Mereka tak kesiankan anak-anak ke, membesar tanpa kasih sayang yang cukup.
Kalau tak mahu jaga anak kenapa beranak.” Geram Husna yang membuak-buak pada
ibubapa yang tak bertanggungjawab ini menyebabkan dia melepaskan amarahnya itu
di hadapan ibunya.
“Istighfar Husna, istighfar
banyak-banyak. Jangan biar api amarah itu kuasai diri.” Husna terus tersedar.
Mengucap panjang dia. “Husna minta maaf ibu.” Alhamdulillah, dia tidak
terbawa-bawa dengan perasaan marahnya itu.
“Husna, sebenarnya Islam telah
menggariskan cara dalam membina sebuah institusi keluarga. Ia cuma terserah
kepada kita samaada mahu mengambilnya atau tidak. Pembinaan sebuah institusi
keluarga sebenarnya bukan bermula dari seorang yang sudah bergelar ibu dan bapa
atau yang sudah bergelar seorang suami atau isteri tetapi ia bermula dari diri
individu yang akan memegang gelaran tersebut.”
“Hmmm…individu? Maksud ibu?” Husna
sedikit kekeliruan.
Sarimah senyum dan meneruskan percakapannya
itu. “Sebelum seseorang itu mahu melangkah ke arah alam perkahwinan ia haruslah
bersedia terlebih dahulu. Bukan sahaja dari segi wang ringgit atau harta benda
tetapi bekalan ilmu yang secukupnya untuk melayari sebuah bahtera
perkahwinan. Seperti yang ayah pernah
sebutkan dulu tentang amanah. Seorang yang bakal bergelar suami perlulah
mengetahui, memahami dan menghayati amanahnya sebagai seorang suami. Bukan
senang untuk memikul amanah tersebut tersilap langkah, azab yang pedih
menunggunya di akhirat nanti. Amanahnya itu bukan sekadar menjaga keperluan
isteri seperti tempat berteduh, makanan dan pakaian atau keperluan batin
semata-mata, tetapi ia perlu didik isterinya supaya rumahtangga yang terbina
dihidupkan dengan suasana Islam, sebuah rumahtangga yang mendapat keredhaan
Allah S.W.T. Begitu juga dengan seorang wanita yang bakal bergelar seorang
isteri. Dia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu bagaimana menjadi seorang
isteri yang solehah, seorang isteri yang benar-benar akan beroleh syurga di
akhirat kelak. Bagi mereka yang mahu berkahwin mereka harus sedar mereka akan
berkongsi hidup dengan orang lain dan bakal memikul tanggungjawab dalam menjaga
kebajikan fizikal dan mental pasangan masing-masing serta anak-anak yang bakal
lahir ke dunia.”
“Habis tu ibu, kita tak boleh kahwin
awal ke? Husna tengok ramai je senior-senior Husna kahwin muda.”
“Tak salah kalau nak kahwin muda asalkan
diri mereka benar-benar bersedia. Cuma yang ibu kesalkan adalah remaja-remaja,
anak-anak muda sekarang menjadikan alasan tidak mahu mendekati zina sebagai
tiket untuk mereka berkahwin awal. Sedangkan mereka sebenarnya belum bersedia.
Ada kes tu, baru kahwin tiga bulan dah failkan perceraian. Sebab itulah Islam
melarang kita berkenalan, keluar berpasang-pasangan tanpa ada ikatan yang sah.
Islam sudah meletakkan garis panduan dalam mencari jodoh. Jika kita benar-benar
mengaplikasikannya, insya Allah gejala yang tidak sihat ini dapat dicegah.
Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.” Terang Sarimah lembut.
“Sebagai seorang muslim, kita seharusnya
menjaga sebaik-baiknya diri kita daripada terhumban kepada perkara mungkar ini.
Perkahwinan itu haruslah dibina tanpa dicemari dulu kesuciannya. Jika perkahwinan
itu dimulakan dengan perkara maksiat maka takut hilang keberkatan perkahwinan
tersebut. Natijahnya, siapa tahu, mungkin perkahwinan itu tidak kekal lama
kerana isi kandungannya hanya berpandukan nafsu semata bukan kerana Allah
Ta’ala.”
“Husna rasa sekarang Husna faham. Kerana
ketiadaan atau kedaifan ilmu di dada menyebabkan sebuah institusi keluarga
gagal dibina atas dasar mencinta dan dicintai kerana Allah. Tanggungjawab
dilepaskan. Anak-anak terabai. Yang paling merisaukan generasi-generasi yang
baru ini menjadi generasi yang bermasalah kerana datangnya dari keluarga yang
bermasalah. Keadaan ini juga boleh menyebabkan kepincangan dalam masyarakat.
Betul tak ibu?”
Sarimah mengangguk. Dia merenung wajah Husna
dan meneruskan lagi bicaranya.“ Apa yang menyedihkan ibu juga adalah sikap
segelintir ibu bapa sekarang yang hanya melihat sahaja anak-anak mereka hanyut
malah ada yang menggalakkan terutama dalam memilih calon menantu. Mereka
biarkan anak-anak keluar berdua-duaan dengan pasangan masing-masing tanpa
memikirkan halal haramnya. Alasannya adalah kerana mereka juga begitu dulu
ataupun kerana zaman sekarang dah moden, biarlah anak-anak tentukan hidup
mereka. Tanpa sedar ibu bapa ini mewariskan anak-anak dengan ilmu yang tidak
benar. Kerana amalan ibubapa yang dulu, anak-anak sekarang juga diajar sebegitu
dan tak mustahil cucu dan cicit mereka juga begitu. Walaupun kita faham suatu
kebaikan atau keburukan itu tidak diwarisi dari ibubapa tetapi natijahnya tetap
dapat dilihat hari ini.”
Tiba-tiba Husna teringat sesuatu. “
Alhamdulillah Ya Allah. Engkau telah menolongku tanpa aku sedari.”
Sarimah tersentak. Tiba-tiba nada suara
anaknya sedikit menjerit mengucapkan syukur. “Kenapa ni Husna?”
“ Husna sungguh terharu dengan rahmat
yang Allah berikan. Sebenarnya semasa di sekolah tadi Ustazah Hasiah ada
memberi tugasan kepada setiap pelajar. Setiap seorang perlu membentangkan tajuk
yang diberikan ustazah. Tajuk yang Husna
dapat pula adalah ‘ Penambahbaikan Dalam Membina Sebuah Institusi
Kekeluargaan’. Ibu, memang benar sesuatu yang berlaku pada kita bukan sesuatu
yang sia-sia bahkan ada hikmah yang tersimpan. Pertemuan Husna dengan Afiq, Nur
Ain dan Nur Atiqah tadi sebagai pembuka jalan untuk Husna mendapat hujah –
hujah yang berguna daripada ibu. Puas Husna mencari fakta-fakta penting di
perpustakaan tadi tapi hampa. Tak banyak membantu.”
“Alhamdulillah, syukur. Sesungguhnya
ilmu yang ibu sampaikan tadi juga datang dari Allah. Dialah yang memberikan
ilmu itu dan ibu hanya menyampaikan sahaja. Hmm..kalau Husna mahu rujukan, ibu ada sebuah buku, harapnya ia
dapat membantu Husna menambahkan lagi kefahaman Husna, insya Allah.”
“Terima kasih ibu. Husna berasa amat
gembira. Alhamdulillah. Sujud syukur padaNya.”
Dengan penuh keyakinan Husna telah
membentang topik tugasannya pada hari yang telah ditetapkan oleh Ustazah
Hasiah. Penerangan dan penghuraian yang disampaikan ringkas dan padat supaya
mudah difahami dan dihadam oleh rakan sekelasnya. Ustazah Hasiah juga kelihatan
berpuas hati dengan pembentangan Husna.
“Sebagai kesimpulannya di sini, keutuhan
dalam sebuah institusi kekeluargaan adalah bermula dari diri setiap indvidu.
Saya ingin memetik kata-kata seorang penceramah yang saya kagumi, ‘jangan
mencari kebahagian dalam rumahtangga tetapi jadilah insan yang membawa
kebahagiaan dalam rumah tangga itu’ . Oleh itu, kita perlu menjadi seorang yang
bahagia terlebih dahulu dan pastinya kebahagiaan itu hanya pada Allah. Al-Quran
diturunkan untuk dijadikan panduan bukan sekadar menjadi mahar dalam sebuah perkahwinan. Fahami dan amalkan.
Kalau tidak memahaminya, bertanya pada pakarnya kerana malu bertanya sesat
jalan. Sekadar ini sahaja perkongsian kita pada hari ini. Mohon maaf atas
sebarang kekurangan. Kebaikan dan kelemahan itu datang dari Allah untuk
disandarkan atas insan yang lemah ini. “
“Waullahu’alam.” Husna menutup
pembentangannya.
Satu perasaan yang puas dan syukur di
raut wajah Husna. Alhamdulillah.
Tulisan yg amqt baik. Jom lah tulis sekali sebagai kolumnis di harakahdaily.net
ReplyDelete