Di kubur ini, tidak ada nisan bertulis apatah lagi sebarang binaan. Hanya batu-batu bukit yang dijadikan nisan. Tidak kira bangsawan, sahabat atau keluarga Nabi, semua sama sahaja.
TRAVELOG UMRAH
MEMORI UMRAH 2016
Hari Kedua (6/12/16)
*MATILAH DI MADINAH*
Jam 3 pagi sudah bangun dari tidur tanpa langsung rasa mengantuk. Mungkin jetlag, sebab Malaysia sudah jam 8 pagi. Ya, memang agak awal bagi orang seperti kita. Tapi saya orang terakhir bangun jika dibanding dengan rakan-rakan sebilik lain. Usai kendiri, terus menuju ke masjid untuk ibadah yang sepatutnya.
Lautan manusia sudah membanjiri masjid. Tanah haram ini sangat meriah dengan ibadaha. Kalau kota-kota di Eropah dan Amerika Latin dikatakan kota yang tidak pernah tidur dengan hiburan, maka Madinah dan Mekah adalah kota yang tidak pernah tidur dengan ibadah. Kemeriahannya membuatkan jiwa yang sedar terus segar untuk merebut ganjaran tuhan.
Selesai solat Subuh sepatutnya ke hotel untuk sarapan pagi, tapi saya melencong ke luar melalui pintu belakang masjid. Nampaknya sebelah sini lebih banyak hotel dan kedai-kedai. Hajat hati nak bersarapan makanan arab, namun yang banyak hanya makanan ala mamak dan indon sahaja. Syawarma pun lain macam rasanya berbanding Syria atau Turki.
Di Madinah, agak sukar untuk mencari orang arab. Kebanyakan kawasan termasuk jemaah masjid didominasi oleh rakyat Pakistan, India dan Bangladesh. Ada yang datang untuk umrah, ada yang berniaga dan ada yang bekerja. Mungkin cecah juta juga rakyat mereka di sini. Saya bersembang dengan salah seorang dari mereka, katanya pakej biasa mereka berumrah adalah sebulan.
Tiba-tiba terfikir, mungkinkah mereka kaum seterusnya yang Allah pilih untuk memimpin Islam sejagat? Menurut ayat 38 surah Muhammad, giliran arab, turki, kurdi sudahpun berlalu.
Kerana lewat balik hotel, saya tak sempat mengikut rombongan ke Baqi, perkuburan Madinah bersebelahan Masjid Nabawi. Jadi saya turun sendiri bersama seorang kawan sekitar jam 8 pagi ke sana.
Nak dijadikan cerita, kami pusing satu Baqi nak cari pintu masuk, tapi tak jumpa-jumpa. Lebih setengah jam juga keliling Baqi yang berhektar luasnya. Tanya orang, rupanya pintu Baqi kena naik laluan ke atas. Tapi waktu itu sudah pun tutup. Mereka hanya buka selepas waktu solat sekejap.
Di Madinah (juga Mekah), solat jenazah diadakan hampir setiap kali selepas solat fardu. Betapa beruntung mereka yang mati di tanah haram, disembahyangkan oleh ratusan ribu umat Islam, dan di tanam di tempat yang sangat mulia. Nabi pernah bersabda kalau sesiapa yang mampu mati di Madinah maka lakukanlah, kerana boleh menjadi syahid dan mendapatkan syafaat di hari kiamat.
Saya masuk sekali lagi ke Raudhah. Nasib tak berapa baik hari ini, orang berganda lebih ramai dari semalam. Polis terpaksa jaga dengan melepas masuk sekumpulan demi sekumpulan.
Setelah kira-kira satu jam beratur, Alhamdulillah saya dapat masuk ke Raudhah. Menurut ulama, taman syurga yang dimaksudkan oleh Nabi adalah dengan beribadah di sana boleh membawa kita ke syurga.
Nak dijadikan cerita juga, semasa solat di dalam Raudhah, fikiran melayang teringatkan Rasulullah SAW. Lidah secara automatik membaca ayat 29 surah al-Fath yang berbunyi:
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).
Rasanya saya belum hafal ayat ini. Teruja juga tiba-tiba sahaja boleh membaca dengan lancar walaupun separuh. Rakaat kedua saya baca pula ayat 144 surah Ali Imran yang turun dalam peristiwa Uhud, ketika Rasulullah SAW diberitakan telah terbunuh:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Itulah mungkin posisi terdekat saya dengan jasad baginda. Apapun kita terpaksa menerima hakikat hanya jasad dan ajarannya saja yang tinggal. Jika benar mencintai baginda, teruskan sunnahnya dan ikuti laluan hidupnya. Mudah-mudahan Allah himpunkan kita bersama Rasulullah SAW di syurga kelak. Sesungguhnya baginda juga rindu untuk bertemu saudara-saudaranya yang tidak sempat hidup sezaman dengannya.
Petangnya selepas solat Asar dan solat Jenazah, saya terus meluru ke pintu perkuburan Baqi. Kelihatan orang berlari-lari ke sana. Mungkin takut pintu ditutup. Beberapa jenazah diarak bergilir dengan hanya bertutup kain hijau tanpa keranda dan sebarang tulisan.
Di kubur ini, tidak ada nisan bertulis apatah lagi sebarang binaan. Hanya batu-batu bukit yang dijadikan nisan. Tidak kira bangsawan, sahabat atau keluarga Nabi, semua sama sahaja. Yang diketahui hanya pembahagian kawasan antara Ahli bait, sahabat dan orang biasa. Tepat sebagaimana larangan Nabi SAW.
Saya kira penghulu Baqi adalah Saidina Uthman, kerana dua sahabat besar lain Abu Bakar dan Umar jasadnya di sebelah baginda SAW di dalam masjid. Saidatina Aisyah, para isteri (kecuali Khadijah), anak Nabi Imam Malik dan kebanyakan sahabat antara yang disemadikan di sana. Sangat beruntung mereka yang disemadikan di Baqi'.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment