Rasa macam berada dalam perhimpunan agung umat Islam pula. Penuh orang di setiap sudut.
Sayyidul Ayyam. Cukup bertuah kerana pakej yang saya ikuti dapat menyambut perayaan mingguan Islam ini sekali di Madinah dan sekali di Makkah. Lama kot. 15 hari. Biasanya 9-12 hari sahaja.
Kali ini terlewat bangkit Subuh. Orang iqamah baru bangun. Tetus berlari menuju masjid. Tiba-tiba, dapat saf pertama! Pelik bukan? Itulah ajaibnya Masjid Nabawi.
Dua tiga hari ini saya memerhati, walaupun Arab Saudi terkenal dengan Wahhabi, sebenarnya ada baik juga fahaman ini diterapkan di negara ini. Di negara ini terdapat Kaabah, maqam Nabi dan tempat-tempat suci yang banyak. Kalaulah kerajaan di sini tidak tegas dalam memerangi bidaah dan khurafat, saya pun tak tahu apa akan jadi pada tempat suci ini.
Kalau anda tengok sebahagian orang India dan Pakistan di sini, pasti anda tahu kenapa saya berpendapat sebegini. Mereka berdoa, solat bukan menghadap kiblat, tapi menghadap maqam Nabi! Berdoa bukan tadah tangan, tapi sama macam hindu berdoa. Di Baqi, ada kalangan mereka yang curi-curi ambil tanah dan simpan dalam poket. Buat apalah agaknya.
Saya nyatakan pendapat ini kepada Ustaz Khalil. Dia bersetuju dan menambah, kebanyakannya adalah pengikut Tariqat Barevli, sebuah tariqat besar di rantau sub continet. Anggotanya dianggarkan 200 juta orang, tetapi mereka mendakwa sebagai Sunni bermazhab Hanafi.
Kata Ustaz Khalil, di wilayah Lahore, Pakistan, siap membina sebuah bangunan sebiji seperti kubah hijau Raudhah, dan mereka bertabarruk di sana. Selain itu, macam-macam lagi khurafat yang mereka buat sampai saya pun tak sanggup kongsikan.
Ustaz Khalil memang tahu benar sebab dia adalah bekas pelajar di India. Kalau nak dengar dia cakap Hindustan bolehlah. Jangan minta nyanyi sudah. Susah artis Bollywood cari makan nanti. Haha.
Berbalik bab Tarikat Barelvi, sebab itulah Ayah Chik kata jangan mudah-mudah sebut Syiah kafir. Sebabnya yang sesat dan syirik ini ada dalam macam-macam kumpulan termasuklah Sunni sendiri. Kita kata syiah sesat, dia kata sunni sesat, sampai bila tak selesai.
Syiah ada berpuluh mazhab. Kalau betul nak cerita kesesatan Syiah, kena sebut secara jelas Syiah apa yang dimaksudkan.
"Ayah Pin pun sunni tu.." Sakat Ayah Chik dalam satu kuliahnya.
Masjid Nabawi dijaga oleh polis yang sangat tegas. Selain menjaga keamanan dan keselesaan, mereka juga tidak membenarkan sebarang unsur tidak syarie berlaku. Di sana juga terdapat unit amar maaruf nahi mungkar, khusus untuk memerangi bidaah dan khurafat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Melihat dan menilik penampilan setiap pengunjung Masjidil Haram, nampaknya rakyat Malaysia lebih terkehadapan dalam bab menutup aurat. India dan Pakistan masih ramai berpakaian sendat dan berselendang nampak rambut. Orang Indonesia juga serupa. Kawan saya yang belajar di Indonesia pernah beritahu, membonceng motor antara ajnabi masih perkara biasa di sana. Berkemban di luar rumah juga bukan satu keanehan.
Suasana Islam di negeri jiran kita masih seperti zaman awal merdeka tanah melayu dahulu. Hakikatnya, inilah kebijaksanaan ulama pejuang kemerdekaan yang memaksa Suruhanjaya Reid meletakkan terma Islam sebagai agama rasmi persekutuan di dalam perlembagaan. Banyak manfaat yang boleh diraih terutama lapangan dakwah.
Solat Jumaat di Madinah, rasa macam berada dalam perhimpunan agung umat Islam pula. Penuh orang di setiap sudut. Semua tekun mendengar syarahan khatib walaupun bukan semuanya faham.
Khutbah hari itu bertajuk perubahan. Dari gaya penyampaian Khatib, tampak seperti beliau membaca teks sahaja. Wallahualam. Kalaulah Khatib tanah haram diberi kebebasan bercakap apa sahaja, pasti mudah untuk menghimpun semangat dan kesedaran umat Islam untuk bangkit menentang semua musuh. Lebih-lebih lagi di musim haji.
Saya mengimpikan musim haji ibarat muktamar wakil negara-negara sedunia yang tidak hanya menjalankan ibadat haji, tetapi turut membincangkan masalah umat dan mengambil kata putus untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing. Barulah mudah membentuk Wehdatul Fikr sebelum membuahkan Wehdatul Amal.
Harap Raja Salman lebuh berani lakukan perubahan, tidak terkongkong dengan sikap keluarga diraja Saud lain. Hukuman Qisas terhadap seorang kerabat diraja baru-baru ini satu keputusan yang wajar dipuji. Doakan beliau istiqamah.
_(Alang Ibn Shukrimun)_
No comments:
Post a Comment