Mengikut sejarah, selesai dua rakaat Baginda SAW bersolat di kawasan Masjid Qiblatain itu, turun wahyu ayat 144 surah al-Baqarah memerintahkan kiblat ditukar dari Baitul Maqdis ke Kaabah
TRAVELOG UMRAH
MEMORI UMRAH 2016
Hari Ketiga (7/12/16)
*RAMAINYA ORANG MALAYSIA*
Hari ini kami melawat beberapa tempat sekitar Madinah. Tempat pertama dituju adalah masjid Quba, masjid pertama yang didirikan oleh baginda SAW ketika mula-mula masuk ke Madinah sebelum sampai ke bandarnya.
Solat disana juga punya kelebihan tersendiri. Disebut dalam satu hadis bahawa sesiapa yang berwudhu' di rumah kemudian menunaikan solat Masjid Quba, maka mereka beroleh pahala satu umrah.
Usai Quba, singgah pula ke ladang kurma. Sebut ladang kurma, terkenang pengembaraan Salman al-Farisi dalam mencari hidayah tuhan. Beliau yang berasal dari Parsi merantau jauh ke tanah arab mencari Rasul akhir zaman. Nasibnya kurang baik. Akibat percayaan pedagang arab di tengah jalan, beliau akhirnya dijual sebagai hamba dan ditugaskan menjaga ladang kurma milik Yahudi di Madinah.
Takdir Allah, di ladang kurma itulah dia mendengar khabar tentang Nabi Muhammad. Beliau pun terus berjumpa denga baginda lalu mengucapkan kalimah tauhid setelah meyakini kenabian baginda SAW.
Kemudian kami ke Bukit Uhud, tempat berlaku peperangan kedua di dalam Islam. Di sana Ustaz Khalil Abdul Hadi menyampaikan tazkirah. Diulang kembali peristiwa Uhud sambil mata kami melihat sekeliling membayangkan satu persatu yang berlaku.
Cukup menusuk kalbu, lebih-lebih lagi mengenangkan saat baginda SAW diserang hendap akibat ingkarnya sebahagian pemanah terhadap arahan. Para sahabat terpaksa membuat bulatan, meletakkan Nabi di tengah dan menjadikan tubuh mereka sebagai benteng, sanggup ditetak dan ditembusi senjata musuh bagi melindungi diri Nabi SAW.
Saat itulah tersebar berita Rasulullah telahpun syahid. Ramai orang Islam menjadi lemah, menyerah kalah dan lari. Tetapi bagi seorang sahabat, beliau berteriak: "Kalau benar Nabi mati, kenapa kita perlu lari? Marilah kita mati bersama Nabi!". Turunlah juga ayat 144 surah Ali Imran bahawa baginda cuma salah seorang rasul dari rasul-rasulNya , tidak patut perjuangan Islam terhenti hanya sekadar kematian seorang rasul.
Bukit Rummah, bukit kecil di sebelah bukit Uhud, tempat pemanah Islam itu dimuliakan dengan menitisnya darah baginda lalu meresap ke tanah itu. Tanah Uhud juga mulia dengan bersemadinya jasad para syuhada khususnya bapa saudara Nabi Saidina Hamzah.
Dalam perjalanan pulang, kami melewati masjid Qiblatain yang bermaksud dua kiblat. Mengikut sejarah, selesai dua rakaat Baginda SAW bersolat di kawasan Masjid Qiblatain itu, turun wahyu ayat 144 surah al-Baqarah memerintahkan kiblat ditukar dari Baitul Maqdis ke Kaabah. Kami juga berpeluang melalui tapak parit perang Khandaq yang kini sudah bertukar kepada jalanraya.
Usai ziarah, terus berkejar pulang ke Masjid Nabawi. Tidak ada tempat yang lebih baik dan dituntut untuk pergi melainkan tiga buah masjid sahaja; Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi bin Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin. Pahala beribadah di tiga tanah suci ini tidak dapat dibezakan dengan tempat yang lain.
Di masjid saya memerhatikan ramai sungguh jemaah dari Malaysia datang kali ini. Macam-macam negeri ada. Sahabat yang sukar bersua muka di Malaysia juga mudah dijumpai di sini. Kata Ustaz Khalil, boleh buat ijtima' pula di sini.
Kuasa Ilahi, walaupun diberitakan banyak agensi umrah yang tergendala dengan bermacam masalah, ramai juga tuhan pilih rakyat Malaysia kali ini terutama dari pimpinan PAS dan rakan sefikrah. Rakan semasa di Syria juga ramai.
Dalam kegembiraan bertemu kenalan, terselit kesedihan. Bukan apa, sebelum krisis di Syria dahulu, negara tersebut juga dikunjungi ramai rakyat Malaysia, paling ramai jika dibanding sebelumnya. Ini kali kedua saya ke tanah arab selepas ke Syria dahulu.
Madinah dipenuhi jutaan manusia pelbagai bangsa. Membilang sebegini ramai umat Islam, hati saya bertanya sendiri. Kenapa umat ini tidak mampu bersatu menentang musuh? Kenapa Islam masih ditindas? Pasti ada sebab dan puncanya.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment